Format fail DBASE

Warisan utama dBASE ialah format failnya .dbf, yang telah dipakai dalam beberapa aplikasi lain. Sebagai contoh format shapefile yang dibangunkan oleh ESRI bagi data ruang dalam sistem maklumat geografi, menggunakan fail .dbf bagi menyimpan data atribut ciri.[9] Istilah xBase sering kali digunakan bagi mengelompok aplikasi sebegini.

Sistem pangkalan data dBASE merupakan antara sistem yang pertama memberikan seksyen pengepala bagi memerihalkan struktur data dalam sesebuah fail. Ini bererti perisian tidak lagi perlu pengetahuan awal mengenai struktur data fail tertentu, sebaliknya boleh sahaja menanya fail data terbabit bagaimana ia distrukturkan.

Jenis fail kedua ialah format fail .dbt bagi medan memo. Berlainan dengan medan huruf yang setiap satunya terhad kepada 254 huruf, medan memo ialah penuding 10-bait kepada fail .dbt yang mampu memuatkan lebih banyak medan teks. Keupayaan dBase amat terhad dalam memproses medan memo, tetapi sesetengah bahasa xBase yang lain contohnya Clipper, menganggap medan memo sebagai rentetan sama seperti medan huruf bagi semua tujuan kecuali untuk simpanan kekal.

dBASE menggunakan fail .ndx untuk indeks tunggal dan fail .mdx (multiple-index) untuk memegang antara 1 hingga 48 indeks. Sesetengah bahasa xBase menyertakan keserasian dengan fail .ndx sementara yang lain menggunakan format fail lain misalnya .ntx yang digunakan oleh bahasa pengaturcaraan Clipper dan file .cdx yang digunakan oleh FoxPro.